Kenyataan Media 7 April 2016: KEADILAN Kecam Penahanan Wakil Rakyat dan Aktivis

Saya memandang serius dan mengecam siri penahanan beberapa orang wakil rakyat dan aktivis dalam minggu ini ketika mana mereka melaksanakan tanggungjawab menegakkan kebenaran dan memberi kerjasama kepada pihak polis untuk siasatan.

Sdr Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) ditahan pada hari Selasa, 5 April 2016 di atas tuduhan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi selepas mendedahkan hubungan antara Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) demi membela nasib pesara tentera. Beliau melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab membela dan menegakkan kebenaran. Beliau kini direman selama tiga hari yang dijangka berakhir Jumaat 8 April.

Sdr Chan Ming Kai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan ditahan di Ibu Pejabat Polis Kangar pada Rabu, 6 April 2016 kerana didakwa menghalang tugas polis di Taman Jaya Diri, Kangar mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan. Beliau mempertahankan hak penduduk yang membantah pembinaan menara telekomunikasi yang dibimbangi boleh menganggu kesihatan penduduk sekitar. Beliau juga melaksanakan tugas sebagai ADUN yang membela rakyat. Sdr Ming Kai bagaimanapun telah dibebaskan dengan ikat jamin polis pada petang hari yang sama.

Sdr Syazni Munir Mohd Ithnin, Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) ditahan pada Isnin 4 April 2016 mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan sesuatu aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya di sebuah laman portal. Ketua Polis Negara mengeluarkan arahan penahanan melalui twitter berdasarkan laporan portal tersebut. Sdr Syazni ditahan sejurus bekerjasama memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi. Beliau bagaimanapun telah dibebaskan pada 6 April selepas menjalani reman.

Seorang lagi bekas aktivis Solidariti Mahasiswa Malaysia, Sdr Ahmad Shukri Kamaruddin telah ditahan pada Jumaat 1 April 2016 atas dakwaan Akta Hasutan kerana kes pada tahun 2014. Beliau telah dibebaskan pada 6 April selepas menjalani reman.

Penahanan wakil rakyat dan aktivis ini dilakukan dengan pantas dan selalunya dibenarkan reman beberapa hari sedangkan mereka sedia bekerjasama. Mengapakah tindakan dengan kadar yang sama tidak dilakukan ke atas pihak yang dilaporkan polis terhadap mereka seperti Sdr Arul Kanda Kandasamy, Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB? Mengapakah tindakan segera tidak diambil ke atas Sdr Jamal Md Yunus yang dilaporkan mengancam membakar papan iklan dan menganggu ketenteraman awam?

Rakyat berhak memperolehi kebenaran dan pembelaan. Suara rakyat ini dibela oleh wakil rakyat dan aktivis. Dalam proses menjalankan tanggungjawab tersebut, wakil rakyat dan aktivis pula yang diancam, disiasat dan mungkin didakwa, sedangkan pesalah tidak pula disiasat segera. Pada masa yang sama, kebiasaanya akta kontroversi seperti Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi digunakan.

Saya menggesa pihak Polis khususnya Ketua Polis Negara menjalankan siasatan dan dakwaan dengan adil dan tidak terpilih. Tanggungjawab PDRM ialah menjaga keamanan awam demi kepentingan rakyat dan negara, bukan kepentingan politik atau kuasa. Lirik awal lagu polis “sedia berkhidmat” sendiri menggambarkan betapa penting tanggungjawab berkenaan.

“Polis sedia berkhidmat
Kerna negeri dan rakyat
Hidup berbahagia aman sentosa…”

Cukuplah negara dimalukan dengan skandal 1MDB dan derma RM4.2 bilion, janganlah dijatuhkan martabat Malaysia dan PDRM dengan pendakwaan terpilih dan intimidasi. Bebaskan Sdr Rafizi sebagai pembela rakyat dan dakwalah penyangak dan penjenayah yang merosakkan negara.

Syed Ibrahim Syed Noh

Ketua Penerangan

Parti Keadilan Rakyat

Kenyataan Media 7 April 2016: Bukan MARA Terkubur Tetapi UMNO Terkubur

Baru-baru ini Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata Majlis Amanah Rakyat (MARA) lahir dari Umno dan tanpa Umno tak mungkin MARA akan wujud. Beliau juga berkata MARA akan terus wujud selagi Umno kekal berkuasa kerana jika tidak, MARA akan terkubur, Melayu dan Bumiputera juga terkubur.

Kenyataan tersebut jelas kenyataan terdesak untuk meraih sokongan orang Melayu. Umno masih terperangkap dalam strategi lama menakut-nakutkan rakyat, menuduh pihak lain mengkhianati Melayu sambil mendakwa ia satu-satunya yang melindungi Melayu.

Apakah dakwaan Dato’ Seri Najib itu benar? Benarkah MARA dan Melayu Bumiputera akan terkubur tanpa Umno?

Sebenarnya tiada sesiapa pun sama ada pembangkang atau pihak lain mahu menguburkan MARA atau Melayu. Tiada sesiapa yang merancang menutup MARA.

MARA perlu dipulihkan bagi memenuhi matlamat sebenarnya. Yang dimahukan ialah dasar dan polisi yang adil dan telus dalam membantu mereka yang benar-benar memerlukan dalam memenuhi objektif kepada apa yang telah termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 153 memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong, bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Borneo (Sabah dan Sarawak) serta kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini. Ia juga secara terperinci menjelaskan bagaimana kerajaan persekutuan perlu mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera dengan menetapkan kuota untuk kemasukan perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, pemberian permit dan lesen perniagaan.

Perjanjian Pakatan Harapan di bawah Fasal 4: Dasar-dasar Bersama dengan jelas menyebutkan ketiga-tiga parti bermuafakat dalam melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.

MARA, agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, ditubuhkan pada 1 Mac 1966 di bawah Akta Parlimen sebagai sebuah badan berkanun bertanggungjawab untuk meningkatkan pendidikan, kemahiran, kegiatan ekonomi dan keusahawanan Bumiputera bagi memajukan, menggalakkan, memudahkan serta menjalankan pembangunan ekonomi dan kemasyarakatan dalam persekutuan dan khususnya dalam kawasan-kawasan luar bandar.

Objektif MARA ialah menggalak, membimbing, melatih dan membantu Bumiputera, khususnya di  luar bandar, supaya menyertai dengan aktif dalam kegiatan perdagangan dan perusahaan ke arah membentuk masyarakat usahawan Bumiputera yang berdaya tahan, profesional dan kukuh.

Dengan erti kata lain, MARA ditubuhkan untuk memenuhi hasrat Perkara 153 iaitu mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera dengan menetapkan kuota untuk kemasukan perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, pemberian permit dan lesen perniagaan.

Kalimah “Amanah” yang terkandung dalam nama MARA dan visi korporatnya “Menjadi organisasi amanah yang unggul dan diberkati untuk mengangkat martabat bangsa” sewajibnya ditatang dengan penuh sedar.

Soalnya sekarang, apakah hasrat itu tercapai atau kini disalahgunakan atau diselewengkan untuk tujuan politik dan kuasa kerajaan Umno-BN?

Menurut penulis buku The Colour of Inequality (2014), Muhammed Abdul Khaled, pertumbuhan ekonomi mutakhir ini sepatutnya beransur-ansur menarik setiap orang ke tahap kesejahteraan yang lebih baik, telah tidak melibatkan semua orang, lalu menghasilkan fenomena berbahaya, iaitu kesenjangan yang semakin meluas.

Jurang pendapatan relatif antara bandar dan luar bandar adalah sama seperti masa merdeka pada 1957. Jurang antara yang kaya dan miskin tidak bertambah baik. Dalam kalangan Bumiputera, pada 2013, 72 peratus pelabur Amanah Saham Bumiputera memiliki purata pelaburan RM554, manakala 0.2 peratus pelabur terkaya memiliki 1,308 kali ganda, iaitu RM725,122.

Pasca-2009 pula wujud jurang lebih luas dari segi pendapatan relatif antara Bumiputera dengan Cina. Ia melonjak sebanyak 10 peratus dalam tempoh 2009-2012, iaitu jurang paling tinggi sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada 1970. Dengan kata lain, jurang tersebut meningkat semasa pentadbiran Perdana Menteri Dato’ Seri Najib.

Menurutnya lagi, antara faktor kegagalan pelaksanaan dasar-dasar untuk kebaikan Bumiputera ialah kerana kegagalan ahli-ahli politik Bumiputera dalam penguatkuasaan dan pemantauannya.

Menurutnya, kegagalan itu boleh diatasi sekiranya ahli-ahli politik Bumiputera pemegang amanah, terutamanya parti pemerintah terbesar, iaitu Umno, memainkan peranan penting dalam memastikan objektif-objektif tersebut tercapai. Tetapi, ini tidak berlaku.

Apa yang berlaku?

  1. Biasiswa dan pinjaman pendidikan MARA dipotong
  2. Peruntukan pembiayaan pendidikan dipotong dalam Bajet 2016 yang juga turut melibatkan peruntukan MARA sehingga mengakibatkan masalah pembiayaan kepada pelajar biayaan MARA
  3. Penyelewengan pengurusan pembelian hartanah oleh MARA sehingga terlebih bayar mengakibatkan ketirisan hingga beratus-ratus juta seperti yang didakwa Sdr Rafizi Ramli dan National Oversight and Whistleblowers (NOW). Ini juga mungkin memberi kesan kepada perkara 2 di atas.

Justeru akhirnya, siapa yang menguburkan Melayu dan Bumiputera? Siapa yang pincang dalam menjaga kebajikan dan peningkatan sosioekonomi anak-anak Melayu dan Bumiputera? Orang melayu tidak malas, boros atau tiada kelulusan tinggi. Pemimpin Umno-BN yang wajib bertanggungjawab dan dipersoalkan amanah mereka.

Bukan kaum Melayu dan Bumiputra yang terkubur, hanya Umno yang terkubur angkara pemimpinnya yang bobrok. Dato’ Seri Najib perlu bertanggungjawab di atas kegagalan ini. Beliau akan dikenang sebagai pemimpin yang menyebabkan kehancuran Umno dan negara jika tidak berundur.

Syed Ibrahim Syed Noh

Ketua Penerangan

Parti Keadilan Rakyat

Laporan Siasatan 1MDB Mengesahkan Kepincangan Perdana Menteri – Edisi Suara Keadilan 12 April 2016

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara atau Parliament Accounts Committee (PAC) akhirnya membentangkan laporannya berhubung pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MBD) di Parlimen pada 7 April 2016. Ini selepas ditangguhkan beberapa kali semenjak setahun yang lalu. Itu pun pembentangan dilakukan pada hari terakhir sidang parlimen dan tiada perbahasan dilakukan.

Pada masa yang sama, Laporan Ketua Audit Negara masih diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) kononnya untuk tidak menjejaskan kredibiliti Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa. Rafizi Ramli didakwa di bawah OSA kerana dikatakan mendedahkan maklumat daripada dokumen berkenaan.

Saya percaya laporan didedahkan beliau bukan untuk menjejaskan kredibiliti Jabatan Audit Negara (JAN) atau Jawatankuasa malah sebaliknya mendedahkan kepada umum jenayah besar yang berlaku dalam 1MDB lalu meningkatkan kredibiliti JAN dalam memulihkan negara dan membela hak rakyat! Hakikatnya, OSA perlu dikaji semula kerana kesamaran dari segi klasifikasi ‘rahsia’ yang terbuka kepada penyalahgunaan.

Balik kepada laporan PAC. Ketua Pembangkang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Dr Wan Azizah Wan Ismail amat mengalu-alukannya namun bagi beliau, pelbagai persoalan belum terjawab, yang memerlukan Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri untuk memberi penjelasan terperinci dengan kadar segera demi menaikkan kembali imej dan kredibiliti negara yang semakin dipersoal.

PAC memulakan laporan prosiding Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB pada 19 Mei 2015 dan mengakhiri prosiding ini pada 11 Februari 2016. Semua pihak yang bertanggungjawab dipanggil namun PAC telah tidak dibenarkan mengkaji transaksi perbankan 1MDB di luar negara serta tidak dibenarkan menyoal beberapa individu penting termasuk Jho Low. JAN membentangkan Laporan Pengauditan 1MDB kepada PAC pada 4 dan 7 Mac lalu. Dan PAC membentangkannya di Parlimen pada 7 April, hari terakhir sidang Parlimen.

PAC mengakui bahawa 1MDB mempunyai struktur modal yang lemah dan terdapat beberapa kelemahan tadbir urus akibat struktur modal 1MDB terlalu bergantung kepada penggunaan hutang. Walau bagaimanapun, PAC berpuas hati dengan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB pelan rasionalisasi syarikat 1MDB dan langkah-langkah yang diambil kerajaan bagi pemulihan. Pada masa yang sama, PAC menyarankan supaya pihak penguatkuasa mengkaji dengan teliti laporan dan membuat siasatan lanjut. Jika didapati wujud kesalahan, tindakan undang-undang perlu diambil.

Jika dilihat sepintas lalu pengakuan oleh PAC tersebut, Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB seolah-olah tidak terlibat dengan skandal 1MDB. Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin juga dilaporkan berkata Najib tidak disebut dalam laporan kerana PAC tidak menemui sebarang bukti untuk menunjukkan salah laku atau salah guna kuasa.

Malah Najib sendiri dilaporkan mempersoalkan kebisingan dan rasa tidak puas hati sesetengah pihak walaupun laporan siasatan PAC sudah dibentangkan. “Jadi apa lagi nak bising, apa lagi yang tak puas hati?”, katanya. Beliau menyanggah dakwaan Tun Mahathir yang menyatakan bahawa RM42 billion telah hilang malah menyifatkan ia sebagai dakwaan palsu dan bermatlamat peribadi sedangkan menurutnya, JAN dan PAC telah menghasilkan laporan yang komprehensif, konklusif dan bertepatan, yang mendapati RM42 billion tidak hilang dari 1MDB.

Pada pendapat saya, inilah antara pelan jalan keluar atau “exit plan” Najib daripada belenggu 1MDB iaitu pertama, arahkan Ketua Audit Negara untuk buat siasatan supaya dilihat Najib bertindak terbuka; kedua, arahkan PAC untuk buat siasatan berasaskan Laporan Ketua Audit Negara supaya boleh membeli masa (buy time) merangka jalan keluar; ketiga, kenal pasti kambing hitam, dalam kes ini ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrul Azral Ibrahim Halmi dan pihak pengurusan; keempat, gunakan undang-undang seperti OSA dan Akta Hasutan supaya perincian kepincangan tertutup dan kelima, gunakan media perdana untuk propaganda Najib tidak terlibat dan bersih daripada segala kesalahan.

Pelan jalan keluar ini mungkin berjaya jika tiada yang berani seperti Rafizi Ramli, jika tiada yang teliti laporan PAC, jika semua institusi kerajaan seperti PDRM, Pejabat Peguam Negara bersekongkol dan jika rakyat berpuas hati dengan laporan PAC lantas berdiam diri.

Saya perlu akui saya tidak meneliti keseluruhan laporan PAC setebal 106 halaman tersebut, namun setelah diteliti perkara-perkara penting, saya boleh merumuskan bahawa Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dan Menteri Kewangan amat wajib bertanggungjawab sama di atas skandal 1MDB, khususnya di atas keputusan struktur modal berasaskan hutang dan pelaburan yang mencurigakan. Berikut ialah penjelasannya:

  1. Penubuhan 1MDB di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) bukan bersifat dana kekayaan negara (sovereign wealth fund), sebaliknya ialah dana hutang negara (sovereign debt fund). Ini kepincangan paling asas. Hutang 1MDB meningkat setiap tahun, bermula dengan RM5 billion pada tahun 2009. Pada Mac 2014, nilai hutang ialah RM42 bilion dengan nilai aset RM51 bilion manakala pembayaran faedah hutang ialah RM2.4 bilion setahun. Pada Januari 2016, nilai hutang ialah RM50 bilion dengan nilai aset RM53 bilion sedangkan pembayaran faedah hutang ialah RM3.3 bilion. Jelas, tahap hutang dan pembayaran faedah terlalu tinggi berbanding dengan aliran tunai syarikat. Mengapa perkara ini dibiarkan berlanjutan sehingga 6 tahun?
  2. Pendedahan skandal 1MDB oleh Sarawak Report dan Wall Street Journal (WSJ) adalah benar. Contohnya, pembayaran USD 700 juta kepada syarikat Good Star Limited yang tiada kena mengena dengan usaha sama 1MDB dan PetroSaudi (muka 25 dan 26 laporan). Hal yang sama telah didedahkan oleh Sarawak Report dlm artikelnya bertajuk The Grand Heist of the Century pada 2 Julai 2015 manakala artikel Sarawak Report melaporkan Good Star Limited adalah syarikat milik Jho Low.
  3. Artikel 117 Undang-undang Tubuh 1MDB meletakkan dengan jelas Perdana Menteri bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku kepada 1MDB iaitu keputusan berhubung komitmen kewangan (termasuk pelaburan), penstrukturan semula atau perkara berkaitan jaminan oleh Kerajaan Malaysia perlu mendapat kebenaran bertulis Perdana Menteri.
  4. Kerajaan melalui Ahmad Maslan pada tahun 2015 pernah menafikan kerajaan menjamin hutang 1MDB. Terbukti itu tidak benar kerana akhirnya sehingga bulan Oktober 2015, pendedahan risiko kerajaan sekiranya 1MDB gagal melunaskan pinjaman, dianggarkan berjumlah RM20.31 bilion, tidak termasuk bayaran faedah (Jaminan kerajaan RM5.8 bilion, Letter of Support RM13.56 bilion dan Standby Credit RM0.95 bilion, rujuk muka 56). Jaminan kerajaan bermakna jaminan daripada wang rakyat juga.
  5. Kenyataan Najib pada Ogos 2015 menyatakan hutang 1MDB akan berkurangan dalam masa lima bulan juga tidak benar, malah hutang 1MDB telah bertambah kpd RM50 bilion pada Januari 2016. Najib memberikan gambaran mengelirukan bahawa hutang 1MDB akan selesai segera sedangkan sebenarnya hutang 1MDB akan hanya selesai sepenuhnya pada tahun 2039 berdasarkan Pelan Rasionalisasi 1MDB di muka 80.
  6. Terdapat arahan Lembaga Pengarah yang telah dilanggar atau tidak dituruti oleh pihak Pengurusan. Ini boleh dilihat daripada luahan tidak puas hati Lembaga Pengarah pada muka 27-32. Ia mengundang persoalan bahawa jika arahan Lembaga Pengarah tidak diendahkan, adakah Ketua Pegawai Eksekutif, Shahrul Azral bertindak atas kehendaknya sendiri atau atas arahan orang lain selain Lembaga Pengarah? Terdapat rujukan yang dibuat kepada Pengerusi Lembaga Penasihat oleh Shahrul Azral. Pengerusi Lembaga Penasihat ialah Najib.
  7. Pemecatan juruaudit KPMG oleh 1MDB apabila banyak bertanya tentang urusniaga Dokumen dan urusniaga 1MDB amat mencurigakan.

Seperkara lagi yang juga perlu difahami, laporan PAC ini tidak lengkap kerana tidak dikepilkan dengan Laporan Interim Ketua Audit Negara dan Laporan Akhir setebal 300 muka yang telah diklasifikasikan sebagai rahsia di bawah OSA. Tidak pernah sebelum ini Laporan Ketua Audit Negara dirahsiakan sehinggalah laporan kali ini.

Justeru, Najib jelas tidak boleh melepaskan diri beliau daripada pertanggungjawaban skandal 1MDB dan masalah ekonomi negara. Rakyat dan negara akan melihat apakah polis akan bertindak adil dan pantas dalam siasatan 1MDB dan apakah Peguam Negara akan bertindak benar dalam pendakwaan?

Rakyat sudah lama digelapkan dengan siri penipuan dan tipu daya. Sudah tiba masanya rakyat menuntut kebenaran dan kembalikan negara ke landasan yang betul.

Syed Ibrahim Syed Noh

Ketua Penerangan

Parti Keadilan Rakyat

12 April 2016

Undur NAJIB, Mansuh GST! – Edisi Suara Keadilan 5 April 2016

Demonstrasi “Undur Najib, Mansuh GST” anjuran Pakatan Harapan telah berjaya dilaksanakan di Kuala Lumpur pada Sabtu 2 April lepas dalam keadaan aman dan panas terik. Turut hadir ialah Ketua Pembangkang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Hj Mohd Sabu, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH); Anthony Loke, Setiausaha Organisasi Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan pimpinan yang lain. Malah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali juga muncul di saat penutup demonstrasi. Tahniah rakyat Malaysia yang prihatin bahawa beban nombor satu rakyat ialah cukai regresif GST!

Pelbagai reaksi menarik boleh dibaca. FB Dr Wan Azizah menyebutkan rakyat sudah muak dengan pemimpin Umno-BN yang tidak memperdulikan rintihan rakyat kebanyakan. Beliau menyifatkan kebangkitan rakyat menolak GST dan menggesa Najib berundur sebagai suatu fenomena. Hj Mohd Sabu pula menganggap kejayaan himpunan tersebut sebagai tanda rakyat mahu Perdana Menteri ditukar dan sistem negara diubah seterusnya GST dihapuskan. FB Nurul Izzah Anwar mengunggapkan “Panas terik di luar boleh dirasa; panas di hati dek kerana ‪#‎GST siapa yang tahu! ‪#‎AntiGST” manakala FB Rafizi Ramli pula menyebutkan, “Saya tabik sahabat-sahabat tegar yang tetap turun. Kita kekalkan momentum ini Najib Razak pasti tidak kekal lama. Sebarkan supaya TV3 tidak boleh kata hanya 50 orang yang hadir”.

Buletin TV3 memang dilaporkan berkata hanya 50 peserta yang menyertai demonstrasi bantah GST sedangkan foto-foto yang tersebar dalam media sosial dan whatsapp amat jelas menunjukkan jumlah yang hadir jauh melebihi 50 orang. Angka yang lebih tepat pada anggaran saya ialah 5000 orang, 100 kali ganda lebih banyak!

Bagaimanapun, jumlah ini sudah tentu lebih rendah daripada himpunan Bersih 4. Apakah ini satu kegagalan? Ada sesetengah pihak menganggap ianya satu kegagalan kerana tidak mendapat sokongan parti tertentu. Bagi saya kenyataan ini agak sombong dan kurang berjiwa besar. Namun menariknya pihak yang sama mengiktiraf ia satu kejayaan kerana isu yang dibawa. Menurutnya, walaupun rakyat tidak “berdemo” menentang GST tetapi bukan bermakna rakyat tidak sokong. Ya, yang ini benar.

Hakikatnya, selepas cukai GST dilaksanakan selama setahun rakyat terpaksa menanggung beban kenaikan harga barang walau dijamin harga barang akan turun. Kuasa membeli berkurangan dan kos sara hidup meningkat lebih-lebih lagi dengan pemotongan subsidi elektrik, minyak masak dan tepung gandum beserta dengan kenaikan kos pengangkutan awam seperti kadar tol, komuter dan transit aliran ringan (LRT).

Tetapi lain ceritanya reaksi oleh Dato’ Seri Najib. Beliau tidak timbulkan tentang jumlah peserta demo mahu pun GST. Bernama melaporkan beliau berkata demontrasi jalanan dan kempen tanda tangan bukan caranya untuk menukar kerajaan.  “Itu tidak ada dalam perlembagaan,” katanya. Malah, Najib turut menafikan dakwaan kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) “mabuk kuasa” kerana rakyat diberi peluang untuk mengundi memilih pemimpin dalam lima tahun sekali mengikut perlembagaan. “Revolusi Arab Spring tidak mencapai matlamat kerana perubahan dilakukan secara mengejut, tidak ikut perlembagaan dan tidak mengikut kedaulatan undang-undang”, katanya memberi contoh demonstrasi jalanan di Timur Tengah yang dikenali Arab Spring.

Benarkah ini? Kenyataan Najib tidak ubah seperti menghina kebijaksanaan rakyat. Salah satu paksi penting dalam sebuah negara ialah demokrasi. Demonstrasi jalanan, kempen tanda tangan, kempen selamatkan Malaysia atau apa juga inisiatif rakyat selagi aman merupakan saluran demokrasi bagi rakyat menzahirkan perasaan mereka selain daripada pilihan raya yang juga termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 10 menyatakan mengenai hak warganegara Malaysia dalam bercakap, berhimpun dan berpersatuan dengan aman. Dengan erti kata yang lain, rakyat berhak menyuarakan bantahan mereka secara bertanggungjawab selari dengan peruntukan perlembagaan.

Ada pun, untuk tukar kerajaan pemerintah, benar kaedahnya ialah melalui pilihan raya namun pertukaran Perdana Menteri tidak semestinya melalui kaedah tersebut. Menurut Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong dipertanggungjawabkan untuk melantik seorang Perdana Menteri daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat. Ini tidak bermakna Perdana Menteri yang dilantik akan terus menjadi Perdana Menteri sehingga Parlimen dibubarkan untuk membuka jalan kepada pilihan raya umum. Sekiranya seorang Perdana Menteri hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat ataupun dengan sendirinya letak jawatan atau meninggal dunia, maka seorang Perdana Menteri baharu boleh dilantik dengan proses yang sama.

Walaupun bukan di Parlimen, perkara yang sama telah berlaku di Kedah, sebelum itu di Terengganu dan juga di Selangor, di mana Menteri Besar negeri-negeri tersebut telah meletakkan jawatan dan ditukar dengan Menteri Besar yang baharu. Begitulah juga pertukaran Perdana Menteri di mana pada tahun 2009, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah berundur diri dan diganti dengan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malahan, amalan menukar Perdana Menteri ini sering berlaku di negara-negara lain yang juga mengamalkan sistem demokrasi berparlimen Westminister. Sebagai contoh, mantan Perdana Menteri Australia, Tony Abott telah ditukar dengan Perdana Menteri sekarang, Malcolm Turnbull. Apa yang pasti, jika dilihat melalui kaca mata undang-undang, dakwaan bahawa seorang Perdana Menteri hanya boleh ditukar melalui pilihan raya umum langsung tidak mempunyai asas.

Soal Arab Spring yang dikatakan Najib sebagai perubahan mengejut dan tidak mengikut perlembagaan atau kedaulatan undang-undang, saya cuma ingin jawab dengan beberapa soalan kepada Najib. Sedarkah beliau punca kepada Arab Spring yang dikatakan tidak mengikut perlembagaan itu ialah kerana rakyat menderita tanpa ehsan sedang pemerintah diktator bermewah-mewahan? Sedarkah beliau rakyat bertindak demikian kerana dizalimi dan ditindas tanpa ruang demokrasi atau pilihan raya yang adil dan bersih? Juga sedarkah beliau apabila rakyat mematuhi kedaulatan undang-undang maka rakyat dihukum dengan kezaliman rejim tentera seperti di Mesir?

Najib sepatutnya bersyukur rakyat di Malaysia masih lagi bersuara dengan aman dan bertamadun walaupun kehidupan mereka tambah sukar. Namun sekiranya Najib dan Rosmah terus boros dan tembelang perbelanjaan mewah mereka terus terbongkar manakala kerajaan Umno Barisan Nasional terus menafikan masalah hutang, skandal 1MBD, rasuah, pengurusan ekonomi dan tata kelola yang lemah, maka kemarahan rakyat akan memuncak walaupun tanpa ‘hasutan’ daripada pembangkang. Pada ketika itu, saya khuatir setiap mereka yang terlibat dalam mana-mana jenayah atau masalah yang menyusahkan rakyat tiada lagi tempat untuk bersembunyi, lantas terpaksa menghadap dakwaan dan hukuman mahkamah. Justeru, apa yang dituntut bukan sekadar pengunduran PM tetapi juga refomasi keseluruhan institusi penting dan pembebasan Anwar Ibrahim yang menjadi mangsa kezaliman.

KEADILAN sebagai parti Reformasi dan paksi kepada Pakatan Harapan harus ketepikan sebarang perbezaan atau kepentingan dan jana tenaga untuk agenda yang lebih besar, reformasi membela rakyat dan menumbangkan UMNO-BN. Parti-parti DAP dan AMANAH dalam Pakatan Harapan perlu benar-benar sepadu untuk tumpu kepada agenda bersama membela rakyat dan sebagai Kerajaan Menunggu. Malah parti-parti pembangkang yang lain juga amat wajar untuk tumpu kepada agenda besar rakyat sekarang supaya perubahan benar-benar boleh berlaku. Badan-badan bukan kerajaan juga amat penting menyokong usaha ini menurut kemampuan masing-masing. Saya percaya rakyat sudah mula sahut seruan selamatkan Malaysia. Jika momentum desakan ini dilakukan dengan terancang, sepadu dan berterusan, maka cerah masa hadapan negara untuk kembali gemilang demi rakyat.

Syed Ibrahim Syed Noh

Ketua Penerangan KEADILAN

5 April 2016

Kenyataan Media 30 Mac 2016: Apakah Indeks Syariah Malaysia 2015 Ukur Dengan Benar?

Dalam pembentangan Indeks Syariah Malaysia 2015 baru-baru ini oleh Perdana Menteri, mata keseluruhan indeks bagi mengukur keseriusan kerajaan mencapai lima aspek maqasid (objektif) syariah, mencatat angka 75.42 peratus bagi tahun lepas. Angka itu dicatat hasil penyelidikan komprehensif dan saintifik selama enam bulan.

Sementara fungsi Indeks Syariah untuk menilai keseriusan kerajaan menepati piawaian Islam boleh dianggap permulaan yang baik, namun hakikatnya indeks tersebut tidak mencerminkan keadaan sebenar jika dilihat kepada skor setiap lapan (8) bidang utama dan kayu ukur yang digunakan.

Ia dilihat sebagai propaganda kerajaan untuk menonjolkan seolah-olah prestasi kerajaan dari segala bidang mematuhi kehendak syariah dan membela umat Islam sedangkan rakyat sendiri sedar krisis ekonomi, tatakelola (1MDB, RM2.6 bilion), kepemimpinan dan pendidikan yang dihadapi oleh negara.

Contohnya, bidang politik memperolehi skor 79.19% dengan tiga input sebagai kayu ukur iaitu penterjemahan gaya urus tadbir negara, pendekatan politik pembangunan yang bersifat holistik dan pembinaan serta penampilan imej islamik dan biah solehah. Bidang pendidikan antara skor yang tertinggi iaitu 82.5% manakala ekonomi antara skor yang terendah iaitu 65.27%.

Jika menggunakan barometer indeks maka pendidikan dianggap cemerlang manakala politik dan ekonomi dianggap baik. Sebenarnya semua bidang utama berkenaan menunjukkan barometer baik dan cemerlang. Tiada satu pun yang sederhana atau lemah. Apakah ini keadaan sebenar?

Apabila diteliti asas-asas pertimbangan indeks ini maka didapati bahawa salah satu daripadanya ialah mewujudkan sebuah indikator komprehensif dan saintifik bagi menilai komitmen serta tahap keseriusan usaha dan bukannya tahap pencapaian dalam menterjemahkan prinsip dan nilai Islam (rujuk laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)).

Dengan kata lain, yang dinilai ialah usaha dan bukan pencapaian. Mungkinkah ini sebab skornya tinggi belaka kerana yang diukur ialah usaha, bukan pencapaian? Pengerusi dan Jawatankuasa Indeks harus memberi penjelasan secara telus.

Indeks Syariah Malaysia sewajarnya untuk muhasabah menyeluruh terhadap pemerintah, pelaksana dan rakyat secara jujur dan ikhlas dengan melakukan semakan sejauh mana polisi menepati kehendak syariah dan bagaimana tahap keberkesanan pelaksanaannya. Ia tidak boleh digunakan untuk melegitimasikan rejim pemerintah untuk tujuan politik murahan menarik orang melayu Islam di atas nama baik syariah.

Indeks juga tidak boleh terpisah dengan data sokongan dari indeks-indeks yang lain yang sedia ada. Begitu juga Laporan Ketua Audit Negara, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia.

Indeks yang berdasarkan input bidang utama yang “superficial” atau cetek tidak boleh dianggap mencerminkan keadaan sebenar. Ianya lemah dari segi isi dan kejujuran yang menyebabkan kredibiliti lemah dan gagalnya memenuhi fungsi indeks berkenaan.

Syed Ibrahim Syed Noh

Ketua Penerangan

Parti Keadilan Rakyat

Kenyataan Media 3 Mac 2015: ATASI ANCAMAN KEGANASAN TANPA GADAI PRINSIP KEADILAN DAN HAK KEMANUSIAAN

KEADILAN mengecam rancangan kerajaan untuk memperkenalkan akta baru anti-terrorisme dalam sidang Parlimen bulan Mac ini seperti yang dilaporkan dalam portal Malaysian Insider hari ini.

Kecaman ini dibuat berdasarkan pelanggaran yang boleh berlaku terhadap prinsip keadilan dan kebebasan asas hak asasi manusia seperti mana Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan.

Ini terutamanya apabila sesebuah akta baru itu memiliki ciri-ciri seperti penahanan tanpa bicara, ruang tafsiran yang terlalu kabur dan penguatkuasaan yang tiada unsur semak dan imbang.

Ini juga bercanggah dengan saranan Perdana Menteri untuk menegakkan maqasid syariah yang jelas tidak akan menggadaikan prinsip keadilan dan kemanusiaan dalam memelihara maruah insan.

Menurut sumber yang dipetik Malaysian Insider, akta baru berkenaan akan mempunyai peruntukan yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan penggunaan peranti pengawasan elektronik selain memiliki ciri-ciri yang hampir serupa dengan Akta Pencegahan Jenayah (POCA 1959), (Pindaan dan Pemerluasan) 2014 yang membenarkan suspek jenayah ditahan tanpa bicara sehingga dua tahun.

Harus diingat walaupun POCA dikatakan hanya untuk dikenakan ke atas penjenayah tetapi ia telah dipinda untuk mengetatkannya lagi dengan memasukkan mukadimah yang sama seperti ISA dan meluaskan penguatkuasaannya ke seluruh negara.

Pada masa yang sama, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang telah diperkenalkan untuk menggantikan ISA turut ada peruntukan bagi langkah-langkah khas yang berhubung dengan kesalahan keselamatan termasuk keganasan terancang. Akta berkenaan juga ada peruntukan penggunaan peranti pengawasan elektronik.

Malah undang-undang sedia ada yang lain juga telah memasukkan “kesalahan berkaitan keganasan” dalam peruntukannya seperti Penal Code (Amendment) Act 2003, Criminal Procedure Code (Amendment) Act 2006 selain Anti-Money Laundering and Anti-Terrorism Financing Act 2001 (Act 613) yang turut meliputi kesalahan pembiayaan keganasan.

Oleh itu, persoalannya, mengapakah ada keperluan untuk memperkenalkan satu lagi akta baru berhubung keganasan? Tidakkah akta yang begitu banyak berkaitan keganasan (yang juga ada masalahnya yang tersendiri) tidak memadai?

Atau jawapan sebenar kepada kaedah menangani keganasan ialah dengan memastikan kecekapan pihak Polis dan kerja-kerja perisikan dalam menjalankan siasatan dan dakwaan di samping mewujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) yang telah dicadangkan sejak 2005?

Pihak Kerajaan perlu menjelaskan perkara ini tanpa ragu-ragu dan tidak mengulangi kesilapan yang dibuat ketika pelaksanaan ISA secara zalim.

Pihak Kerajaan wajib memberikan penjelasan dan mendapatkan pandangan daripada NGO, Majlis Peguam dan pihak yang berkepentingan sebelum akta baru dibentangkan di Parlimen.

KEADILAN memandang berat ancaman keganasan ke atas keamanan dan keselamatan negara malah menyokong penuh usaha-usaha untuk menangani keganasan sama ada oleh kerajaan atau badan-badan bukan kerajaan.

Atas sebab itulah, KEADILAN percaya semua pihak sama ada kerajaan, parti-parti politik, badan peguam, agensi keselamatan dan NGO boleh bekerjasama dalam mengemukakan penyelesaian kepada usaha menangani keganasan.

Bagi KEADILAN, apa juga dasar, undang-undang dan tindakan, wajib mengambilkira prinsip keadilan, hak asasi manusia dan kemanusiaan yang menjadi tonggak kepada maqasid syariah.

Satu perseimbangan perlu dicari antara keselamatan awam dan kebebasan rakyat serta selaras dengan kedaulatan undang-undang seperti mana yang dilaksanakan di Indonesia yang mendakwa suspek keganasan di mahkamah secara telus, bukan melalui undang-undang pencegahan rahsia yang boleh membuka ruang salahguna.

SYED IBRAHIM SYED NOH

KETUA PENERANGAN

PARTI KEADILAN RAKYAT (KEADILAN)

Kenyataan Media 14 Jan 2015: ELAK BUDAYA ANCAM MENGANCAM, SUBURKAN BUDAYA DIALOG PERBINCANGAN

Saya merujuk kepada kontroversi melibatkan penahanan peguam Eric Paulsen yang dilaporkan kerana kenyataan beliau dalam twitter.

Beliau dilaporkan telah ditahan melalui serbuan 20 anggota polis di Brickfields Kuala Lumpur walaupun beliau telah terdahulu bersetuju untuk memberi kerjasama kepada pihak polis. Beliau difahamkan kini ditahan reman selama dua hari.

Walaupun saya sebagaimana juga pimpinan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak sepenuhnya bersetuju dengan kenyataan umum Eric yang boleh ditafsir menghina secara serkap jarang, namun saya juga tidak bersetuju beliau ditahan begitu rupa, apatah lagi disusuli dengan tweet Ketua Polis Negara tentang penangkapan Eric seolah-olah penjenayah besar yang cuba melarikan diri.

Saya percaya perkara ini boleh ditangani dengan cara berdialog secara paling baik (ahsan) dan berhikmah sebagaimana yang disarankan oleh Islam melalui Al-Quran, Surah Al-Nahl ayat 125 (anjuran hikmat kebijaksanaan, nasihat pengajaran yang baik, berbahas dengan baik) dan Surah Al-Baqarah ayat 269 (hikmat kebijaksanaan).

Saya percaya ada beberapa perkara dasar di sini yang perlu difahami dalam konteks Malaysia sebagai negara majmuk pelbagai agama, kaum dan budaya.

  1. Islam ialah agama suci Umat Islam yang bersifat rahmat bagi sekelian alam, membawa keamanan, keadilan, permuafakatan dan keharmonian antara kaum dan agama namun tegas terhadap kezaliman, kemungkaran, perpecahan dan fitnah
  2. Islam mengutamakan kepentingan atau kemaslahatan umum tanpa menafikan hak asasi manusia termasuk hak berbicara sebagaimana yang difahami melalui maqasid syariah
  3. Islam menganggap tegur menegur kerana hak dan kebenaran sebagai prinsip utama dan sebahagian prinsip mengajak kepada kebaikan dan mencegah keburukan

Namun perkara dasar ini akan hanya tinggal dasar jika kefahaman dan pelaksanaannya bercelaru atas motif politik dan emosi sentimen semata-mata.

Atas sebab itu, saya menyarankan semua pihak sama ada pihak Kerajaan, PDRM, JAKIM, Sdr Eric Paulsen, Parti Politik dan NGO untuk kembali kepada dasar ini jika kita ingin benar-benar membebaskan negara kita daripada unsur ekstrimisme.

Saya dan KEADILAN bersedia memainkan peranan untuk menyuburkan budaya dialog perbincangan dan mengelakkan budaya ancam mengancam serta ugutan.

SYED IBRAHIM SYED NOH

KETUA PENERANGAN

PARTI KEADILAN RAKYAT (KEADILAN)

Kenyataan Media 18 Mei 2015: TAHNIAH KAK WAN SEBAGAI PENERUS OBOR PERJUANGAN RAKYAT DAN DATO SERI ANWAR IBRAHIM

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh hari ini.

Dr Wan Azizah memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh buat kali ke-4 pada 17 Mei 2015 selepas penyandang dan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan kerana difitnah sekali lagi dan disabitkan dengan kesalahan liwat.

Beliau juga telah dipersetujui oleh Pakatan Rakyat untuk dilantik sebagai Ketua Pembangkang Parlimen. Ini merupakan pelantikan kali ke-2 setelah pernah memegang jawatan yang sama sejurus PRU ke-12 dari Mac hingga Ogos 2008.

Pengekalan kemenangan di Permatang Pauh menandakan penerimaan dan keyakinan rakyat terhadap Dr Wan Azizah sebagai pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab dan terhadap KEADILAN serta Pakatan Rakyat sebagai gagasan parti harapan rakyat. Terima kasih kepada pengundi Permatang Pauh yang berani!

Dr Wan Azizah menunjukkan keberanian, kesungguhan dan pengorbanan dengan berdiri di sisi Anwar Ibrahim ketika suaminya dianiaya dan dizalimi. Kepemimpinan yang amanah, berani dan tahan diuji inilah yang wajib dicontohi. Bukannya pemimpin yang pecah amanah, takut dan lemah berhadapan dengan fitnah, mehnah dan dugaan.

Kembalinya Dr Wan Azizah ke Parlimen akan menjadi pendorong kuat kepada Pakatan Rakyat dan KEADILAN khususnya untuk menuntut perubahan dalam pemerintahan demi rakyat dan masa hadapan yang lebih baik.

Sudah tentu kehadiran beliau dan Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang lain amat penting dalam membahaskan pembentangan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) oleh Perdana Menteri pada Khamis 21 Mei ini kerana Perdana Menteri dijangka mengemukakan rancangan tindakan pembangunan ekonomi menjelang 2020. Soal keadilan sosial, kebebasan, kedaulatan undang-undang dan kemaslahatan rakyat wajib diberi keutamaan walaupun dalam menuju ke arah negara maju.

Syed Ibrahim Syed Noh

Ketua Penerangan

Parti KEADILAN Rakyat

Kenyataan Media 9 Dis 2015: Dana RM2.6 bilion dibelanjakan untuk Parti?

  1. Saya tidak hairan dengan persepsi bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin​ dilihat tidak mendapat sokongan dan Datuk Seri Najib Abdul Razak menerima sokongan. Ini hal dalaman parti dan lebih kepada persepsi.
  2. Namun yang menarik perhatian saya ialah apabila Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, dalam taklimat tertutup Presiden UMNO bersama pimpinan dan perwakilan semalam, Datuk Seri Najib Abdul Razak telah memberitahu bahawa beliau membelanjakan semua dana RM2.6 bilion itu untuk parti. Ya, saya ulangi…beliau membelanjakan semua dana RM2.6 bilion itu untuk parti!
  3. Apakah ada kemungkinan ramai daripada kalangan pimpinan UMNO yang telah perolehi habuan dan ‘durian runtuh’ daripada dana RM2.6 bilion itu sehingga memberi sokongan padu kepada Presidennya?
  4. Apa kata Datuk Seri Shafie Apdal, Naib Presiden UMNO yang telah digugurkan sebagai Menteri oleh PM?
  5. Katanya, Presiden UMNO perlu membuktikan bahawa sumbangan RM2.6 bilion yang diterimanya, telah digunakan untuk UMNO.
  6. “Beliau perlu membuktikannya. Berapa orang yang terima duit ini? Kalau untuk UMNO, kenapa tak dibincangkan dalam Majlis Tertinggi UMNO, apa kegunaan dan ke arah mana kita guna duit ini.”
  7. “Mungkin cara dia menggunakannya. Dia beranggapan dia presiden, maka ia untuk kebaikan UMNO,” katanya lagi.
  8. Saya setuju dengan Datuk Seri Shafie bahawa ini persoalan akauntabiliti atau pertanggungjawaban, apatah lagi melibatkan wang yang sangat besar dengan jawatan tertinggi negara.
  9. Apakah tidak mungkin ini termasuk di bawah mana-mana daripada tiga kesalahan rasuah yang diketahui iaitu meminta/menerima rasuah, menawar/memberi rasuah dan/atau menyalahguna jawatan/kedudukan?
  10. Malah lebih malang lagi, ini telah mengakibatkan krisis keyakinan kepada Datuk Seri Najib Abdul Razak sebagai Perdana Menteri, justeru telah menjejaskan imej, ekonomi dan politik negara.
  11. Kemuncaknya, rakyat yang menanggung beban sedangkan rakyat sewajarnya menerima keadilan, kemakmuran dan kesejahteraan.
  12. Atas sebab itu, seperti yang telah didesak pelbagai pihak, saya menggesa siasatan ke atas dana RM2.6 bilion diselesaikan segera “without fear or favour”, tanpa campur tangan politik dan kuasawan.
  13. Saya juga mendesak Datuk Seri Najib berundur daripada semua jawatan atau cuti berehat sehingga siasatan selesai.
  14. Jika tidak dan selama itulah, negara kita akan dirundung malang dengan ekonomi yang merudum, kenaikan harga barang dan kos sara hidup serta tatakelola negara yang caca marba. Yang terkini ialah kenaikan kadar tarif elektrik sebanyak 14.98% atau 4.99 sen hingga 38.53 sen per kWh bagi Semenanjung Malaysia dan lima sen bagi Sabah dan Labuan yang akan berkuatkuasa Januari tahun depan.

SYED IBRAHIM SYED NOH

KETUA PENERANGAN

PARTI KEADILAN RAKYAT

Kenyataan Media 5 Jan 2016: Isu Bauksit – Hentikan Pelanggaran Melampau Hak Kemanusiaan dan Alam!

Isu operasi bauksit di Kuantan sudah melangkau dan melanggar hak kemanusiaan dan alam. Rakyat bukan sahaja menanggung risiko kesihatan sekarang tetapi pada masa hadapan.

Rakyat bukan lagi tuan yang sepatutnya ditunaikan hak dan amanah ke atasnya tetapi menjadi hamba kepada tuan yang tamak haloba dan seolah-olah lupa Tuhan.

Walaupun bahan bauksit boleh membawa manfaat untuk rakyat dan negara jika dikawal selia dengan baik tetapi akibat ketamakan, sikap tidak amanah dan tidak berpegang kepada prinsip mensejahtera dan memelihara rakyat, maka kesemua itu menjadi manis di bibir sahaja, malah lebih malang lagi membawa keburukan dan kerosakan kepada manusia dan alam.

Lebih banyak bauksit dilombong, lebih banyak wang yang masuk dalam kantung hinggakan kelabu mata walau menjahanamkan seluruh sistem ekologi atau ekosistem dan nyawa manusia. Insiden laut dan sungai bertukar merah adalah buktinya.

Ini salah siapa? Adakah benar ini salah pelombong bauksit? Adakah benar ini salah pemandu lori? Adakah benar ini salah penguatkuasa? Atau salah Konsortium Pelabuhan Kuantan? Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG)? Pejabat Tanah dan Galian (PTG)? Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)? Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)?Atau salah kerabat diraja Pahang? Atau sebenarnya salah MB dan Kerajaan Negeri Pahang? Atau salah Kerajaan Persekutuan?

Ada yang berani berkata ini salah semua! Yang merancang, yang memudahcara, yang melaksana, yang merestui, yang berdiam diri dan yang bersubahat.

Sebenarnya sebagai langkah paling bertanggungjawab dan amanah, wajib ada pihak yang tampil ke hadapan dan memberi pengakuan mengambil tanggungjawab lama dahulu, malah berani meletakkan jawatan sambil yang lebih penting mencari jalan penyelesaian terbaik sebelum termasuk dalam ranking dunia sebagai antara tragedi terburuk dunia.

Matlamat tertinggi sesebuah kerajaan yang adil yang dipilih dan diberi amanah oleh rakyat ialah mensejahtera, memelihara, mentadbir sumber alam dan potensi yang ada agar kemakmuran, keadilan, kebebasan dan keamanan dapat dikecapi oleh rakyat merentasi sempadan bangsa, kaum, budaya dan agama.

Fungsinya meluaskan rahmat kepada rakyat yang merangkumi segala aspek objektif syariah (maqasid syariah) termasuk hak asasi manusia, kebebasan, keadilan, persamaan dan apa sahaja yang membawa maslahah kemanusiaan.

Sekiranya matlamat dan fungsi ini difahami, insiden operasi bauksit di Kuantan tidak akan berpanjangan, malah tidak boleh berlaku.

Bolehkah YAB Menteri Besar Pahang, Kerajaan Negerinya dan Kerajaan Persekutuan diharapkan atau mereka akan terus berdiam diri dan menghukum rakyat?

Saya kagumi usaha Ahli Parlimen Kuantan, YB Fuziah Salleh; Ahli Parlimen Indera Mahkota, YB Dato’ Fauzi Abdul Rahman dan Gabungan Menentang Pencemaran Bauksit (GERAM) yang berusaha di setiap peringkat untuk mengatasi masalah ini walaupun berdepan banyak halangan.

Saya percaya seluruh rakyat Kuantan dan persekitarannya menyokong usaha mereka dan tidak akan berdiam diri sehingga isu ini selesai.

Pelombongan bauksit ini perlu dihentikan segera selagi mana tiada usaha terancang dilakukan dengan mengambil kira kepentingan kemanusiaan dan alam sebagai kepentingan paling utama.

Syed Ibrahim Syed Noh

Ketua Penerangan

Parti Keadilan Rakyat

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR)